Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Tuesday, July 14, 2009

IMAN YANG TEGUH

Shallom! Semua pengunjung dan pembaca VCM. Agak lama saya tidak memuatkan artikel di sini. Baru2 ini laptop saya juga bermasalah menyebabkan saya tidak dapat online selalu. Kerosakan yang agak berat kerana terpaksa tukar motherboard. Mungkin bagi orang lain beli baru lagi baik, mudah dan cepat. Tapi saya jenis yang agak konservatif dalam pemilikan barang2 peribadi. Saya suka memelihara nilai2 estetika. Maka saya pertahankan laptop saya selagi masih boleh dan masih kos efektif.

Berbalik kepada perkongsian kali ini. Baru2 ini saya membaca dan menyelidiki semula alkitab dalam kitab Kejadian. Memang firman Tuhan semuanya indah bagi saya, tetapi saya rindu untuk berkongsi tentang iman yang teguh. Abraham (nama asalnya Abram) dikatakan sebagai Bapa Iman. Walaupun saya sudah beberapa kali membaca petikan firman Tuhan mengenai iman Abraham, tetapi saat saya membacanya semula, saya menitiskan airmata.

Suatu ketika TUHAN menyuruh Abraham untuk membawa Ishak ke suatu tempat, sejauh 3 hari perjalanan untuk dijadikan korban bakaran. Ishak merupakan Anak Perjanjian yang TUHAN janjikan untuk memberikan Abraham keturunan yang sebanyak bintang di langit dan sebanyak pasir di pantai daripada isterinya yang sah, Sarah (nama asalnya Sarai).

Bayangkan TUHAN menyuruh Abraham mengorbankan anaknya sendiri. Jika Ishak mati, di manakah janji TUHAN untuk memberikannya keturunan yang banyak? Namun Abraham mempunyai iman yang teguh. Dia setia kepada perintah Tuhan sekalipun dia terpaksa mengorbankan anaknya sendiri, anak yang dijanjikan TUHAN kepadanya.

Sedang mereka berjalan menghampiri tempat yang dimaksudkan, Ishak bertanya kepada Abraham, bapanya, "Kita sudah membawa kayu dan bara api, tetapi di manakah domba yang akan dikorbankan?”


Sudah pasti hati Abraham hancur saat mendengar pertanyaan anaknya yang sebentar akan dikorbankannya. Mungkin dengan airmata, Abraham menjawab, ”TUHAN sendiri yang akan menyediakannya.”


Sudah pasti Abraham tidak sampai hati untuk membunuh anaknya sendiri. Anak yang amat dikasihinya. Dia percaya, dengan iman yang teguh bahawa TUHAN pasti akan melakukan mukjizat yang besar.


Sesudah mereka tiba di tempat persembahan korban, Abraham mendirikan mezbah, menyusun kayu bakar di atasnya, lalu mengikat Ishak dan meletakkannya di atas mezbah tersebut. Abraham kemudian mengambil pisau untuk membunuh anaknya.


Tetapi malaikat TUHAN datang dan TUHAN berseru kepada Abraham melalui malaikat itu, ”Janganlah kau apa2kan anak itu. Sekarang Aku tahu engkau taat dan setia kepadaKu, kerana tidak menolak untuk menyerahkan anakmu yang tunggal itu kepadaKu.”


Abraham menoleh dan melihat seekor domba jantan, yang tanduknya tersangkut dalam belukar. Abraham mengambil domba itu lalu mempersembahkan korban sebagai ganti anaknya, Ishak.


TUHAN berkata lagi kepada Abraham, ”Kerana engkau taat kepadaKu, Aku bersumpah demi namaKu sendiri bahawa Aku akan memberikan engkau keturunan yang banyak, sebanyak bintang di langit dan sebanyak pasir di pantai, serta keturunanmu akan menduduki kota2 musuh. Melalui keturunanmu seluruh bangsa di bumi akan diberkati, sebab engkau mentaati perintahKu.”


Kisah ini benar2 mengingatkan saya kembali untuk merenungkan segala kebaikan dan pertolongan Tuhan di dalam hidup saya secara peribadi. Saudara/i, Marilah kita miliki iman yang teguh seperti Bapa Abraham. Semoga Tuhan memberkati kita semua.

2 comments:

  1. Kasih karunia Tuhan tidak pernah ada pengakhirannya.

    ReplyDelete
  2. Rom 10:17 Jadi, iman timbul dari pendengaran, dan pendengaran oleh firman Kristus.

    Marilah kita selalu mendengar (belajar) FirmanNya/Alkitab agar iman kita bertumbuh teguh.

    ReplyDelete

"Perkataan yang baik merupakan berkat bagi banyak orang." (Amsal 10: 21)