Untuk dua bulan pertama tahun ini (2011), gereja di mana saya berbakti dan melayani telah menetapkan tema bulanan gereja iaitu 'Kasih Yang Sejati'. Saya berkesempatan untuk menyampaikan perkongsian tentang tema ini pada kebaktian Ahad beberapa minggu yang lalu (23.01.11). Saya berbicara tentang subtema 'Kasih Itu Sabar'.
1 Korintus 13: 4-8 memberitahu kita tentang sifat2 kasih menurut alkitab. "Kasih itu sabar..." merupakan ayat pertama dalam senarai tersebut. Kenyataan ini menarik minat saya untuk menyelidikinya dengan lebih mendalam kerana penulisan alkitab selalunya memberitahu kita bahawa perkara pertama yang disebut dalam sesuatu senarai menunjukkan keutamaan kepentingannya.
Petikan asal dalam bahasa Yunani bagi ayat ini ialah 'hE agapE makrothumei'. Perkataan 'makrothumei' (disebut mak-roth-oo-meh'-o) ini sebenarnya membawa maksud tidak patah semangat atau putus asa serta tabah menghadapi kesusahan dan malang yang menimpa. Sabar menanggung penderitaan yang disebabkan oleh orang lain; tidak pemarah dan tidak suka membalas kejahatan dengan kejahatan. Sabar menanggung penderitaan yang panjang.
Menarik untuk diperkatakan di sini, 'makrothumei' dikatakan adalah gabungan daripada dua perkataan iaitu 'makro' dan 'thumos'. 'Makro' bermaksud panjang atau jauh manakala 'thumos' pula bermaksud kemarahan, kepanasan, dan dikaitkan dengan penderitaan. Itulah sebabnya di dalam terjemahan King James Version perkataan 'makrothumei' ini diterjemahkan kepada suffers long ataupun longsuffering; Love suffers long.
Saya cuba menyelidiki di dalam alkitab kenapa 'kasih itu harus sabar'? Banyak sebab yang boleh kita temukan, tetapi saya mahu mengongsikan tiga perkara penting untuk kita fahami dan hayati bersama dalam hidup keKristianan kita.
1. Sebagai orang2 yang percaya Tuhan dan dikatakan memiliki kasih, kita harus memiliki kesabaran kerana kasih yang sesungguhnya adalah Allah sendiri (1 Yohanes 4: 8). TUHAN itu panjang sabar (Mazmur 145: 8) dan sebagai anak2 Tuhan kita juga seharusnya memiliki kesabaran (yang panjang). Ini mengingatkan saya tentang lagu sekolah minggu yang berkata, "...panjang sabar itu anak Tuhan."
2. Bagi saya, seseorang yang dewasa imannya harus bijaksana dan hidupnya dipimpin oleh Roh Allah. Kebijaksanaan ditandai oleh kesabaran (Amsal 14: 17) dan orang yang sabarlah yang mendatangkan perdamaian (Amsal 15: 18). Alkitab sendiri memberitahu kita bahawa orang yang hidupnya dipimpin oleh Roh Allah memiliki kesabaran (Galatia 5: 22). Itulah sebabnya rasul Paulus menggesa kita untuk sentiasa sabar (Efesus 4: 2) kerana sabar itu tanda orang beriman.
3. Kesabaran (yang panjang) amat diperlukan untuk mendapatkan berkat Tuhan. Bukan hanya berkat kedatangan Tuhan kali kedua yang perlu kita nantikan dengan sabar, tetapi juga segala berkat di dunia yang kita perlukan sementara masih hidup di dunia yang fana ini. Kita boleh belajar erti kesabaran daripada petani yang sabar menantikan hasil tanaman mereka. Kita perlu mencontohi kesabaran Ayub menghadapi penderitaan sehingga akhirnya dia diberkati Tuhan (Yakobus 5: 7-11), dan seperti Abraham yang bersabar sehingga dia menerima janji Allah (Ibrani 6: 15).
Jika saat ini anda sedang diuji kesabaran,
itu maknanya Tuhan sedang mengajar anda erti kasih yang sejati. -Nell Ison
No comments:
Post a Comment
"Perkataan yang baik merupakan berkat bagi banyak orang." (Amsal 10: 21)