Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Friday, December 19, 2008

Kenapa TUHAN Menjadi Manusia?

Sejak dari kecil, saya telah diajarkan atau telah belajar bahawa setiap tahun apabila menyambut Hari Krismas/Natal, kelahiran Yesus yang dirayakan. Sejak saya belum dewasa di dalam iman sehinggalah saya menemukan jawapannya (sekurang2nya untuk diri saya sendiri), saya seringkali bertanya, "Kenapa Tuhan mesti lahir ke dunia? Dan jika memang Dia perlu lahir ke dunia, kenapa mesti menjadi seorang manusia; dan bahkan sebagai manusia yang tidak berdosa.

Mari kita selidiki jawapan2nya;

1. Untuk mebolehkan diriNya dapat 'diterima' oleh manusia.

Manusia merupakan ciptaan Allah yang terbaik. Di Taman Eden di mana pasangan manusia pertama (Adam dan Hawa) ditempatkan, Allah mempunyai persekutuan yang begitu intim dengan mereka. Namun Allah 'terpaksa' mengusir pasangan manusia itu keluar dari taman itu setelah mereka jatuh dalam dosa. Pun begitu, Allah masih menunjukkan betapa Dia begitu mengasihi mereka dengan membuat pakaian untuk mereka dari kulit binatang sebelum mereka diusir keluar.

Oleh kerana dosa, manusia tidak lagi boleh menghampiri Allah yang kudus. Namun Allah sendiri yang mengambil inisiatif untuk mahu terus berhubungan dengan manusia; melalui pernyataan kemuliaanNya dalam bentuk 'api', 'awan', 'mukjizat2', dan berbicara melalui nabi2. Manusia tidak dapat berhadapan dengan Allah kerana sesiapa saja yang memandang wajah Allah pasti akan mati.

Bayangkan diri kita dengan sekawanan burung. Kita hanya akan dapat 'diterima' di kalangan mereka hanya jika kita dapat menjadi seperti mereka. Jika tidak, kita hanya akan menjadi penyebab ketakutan kepada mereka jika kita cuba untuk menghampiri dan bergaul dengan mereka. Sama seperti kita dan burung2 itu, kehadiran Allah dalam kemuliaan dan kekudusannya akan menyebabkan ketakutan dan kematian kepada manusia yang berdosa. Namun Allah mahu memulihkan 'persekutuan' yang semula dengan manusia. Itulah sebabnya Allah tidak mempertahankan kedudukannya yang ilahi dengan turun ke dunia, menjadi sama seperti manusia.

2. Untuk menyatakan 'rupa'Nya kepada manusia.

Alkitab memberitahu kita bahawa manusia diciptakan 'seperti' Allah yang mempunyai akal fikiran, boleh menguasai dan memiliki hak untuk memilih. Namun alkitab juga menyebut bahawa Allah menciptakan manusia 'menyerupai' Dia. Kata dasar menyerupai ini ialah 'rupa', yang adalah hal yang nyata atau kelihatan.

Allah adalah Roh, tetapi apabila Dia menyatakan dirinya secara 'fizikal', Dia harus menjadi seperti manusia kerana rupa manusia itu adalah 'rupa' Allah. Ringkasnya, dengan 'menjadi' manusia, Allah sebenarnya hanya menyatakan 'rupa' diriNya yang sebenar; sebagai manusia yang ilahi (Manusia 100%, dan Allah 100%). Dengan demikian, Allah tidak ada masalah lagi untuk bersama-sama dengan manusia.

3. Untuk menjadi korban pengampunan dosa yang sejati.

Menurut kitab Taurat (Perjanjian Lama), hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat diampunkan jika ada penumpahan darah. Manusia sudah berusaha untuk mendapatkan pengampunan dosa dengan mempersembahkan korban pengampunan dosa yang merupakan haiwan seperti lembu, domba, kambing, dan burung. Setiap kali umat Israel berdosa, ada korban pengampunan dosa yang harus dipersembahkan. Bahkan acara korban pengampunan dosa ini merupakan acara tahunan oleh masyarakat Israel dalam perjanjian lama. Haiwan2 yang dikorbankan ini pula mestilah yang terpilih; sihat dan tidak ada cacatnya.

Kitab orang Yahudi bukanlah gambaran lengkap dan sempurna tentang perkara-perkara yang sebenarnya. Ia hanyalah bayangan kepada perkara2 baik yang akan datang. Semua persembahan korban itu tidak dapat menghapuskan dosa manusia. Darah haiwan tidak dapat menggantikan dosa manusia. Dosa manusia hanya dapat dihapuskan dengan darah manusia juga. Tetapi manusia yang akan dikorbankan itu haruslah seseorang yang tidak ada cacat celanya atau dalam erti kata yang sebenar 'tidak berdosa'.

Namun Alkitab memberitahu kita bahawa sebelum Yesus, tidak ada manusia di muka bumi ini yang tidak berdosa. Bayi yang masih di dalam kandungan dan saat ia lahir juga sudah berdosa (kerana dosa warisan dari Adam; Bapa leluhur kita). Oleh itu siapakah yang layak untuk dijadikan korban penghapus dosa manusia? Jika ada pun (tapi memang tiada manusia yang tidak berdosa), sanggupkah dan layakkah dia dijadikan korban pengampunan dosa yang diperlukan oleh segenap umat manusia. Allah sedar bahawa satu2nya cara ialah 'menjadikan' seorang manusia yang tidak berdosa untuk tujuan tersebut.

Tujuan itu terlaksana melalui Yesus; Dia dikandung dan dilahirkan oleh seorang anak dara bernama Maria melalui kuasa Roh Kudus (Bukan atas perhubungan suami/isteri). Sebab itu Yesus tidak berdosa sejak dia dibentuk dalam rahim 'ibu'Nya (tidak mewarisi dosa warisan) dan bahkan sejak dia lahir sehingga akhir hayat 'manusia'Nya, Dia tidak berdosa. Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diriNya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukanNya sekali saja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu kita semua dibersihkan daripada dosa.

"Sebenarnya Dia ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaanNya yang ilahi harus dipertahankanNya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti hamba. Dia datang sebagai manusia. Dia merendahkan diri dan hidup taat kepada Allah sehingga mati; mati di atas salib. Itulah sebabnya Allah meninggikan dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, di bumi dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan. (Filipi 2: 6-11, Alkitab BM).

Selamat menyambut Hari Natal 2008 dan Tahun Baru 2009. Tuhan memberkati semua.

No comments:

Post a Comment

"Perkataan yang baik merupakan berkat bagi banyak orang." (Amsal 10: 21)