Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Monday, November 3, 2008

Latihan Jasmani vs Latihan Rohani

1 Timotius 4: 7-8

Huh! Baru lega rasanya. Selama 1 bulan ni saya sibuk dengan pengurusan penganjuran Kejohanan Sukan Kesihatan 6 Penjuru (PBU) kali ke-11 bertempat di daerah Tuaran. Sebanyak 6 kontinjen yang menyertai; dari daerah Ranau, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas, dan Tuaran sendiri. Kejohanan sukan yang berlangsung selama 3 hari itu, bermula pada 31 Oktober hingga 2 November 2008 menyaksikan pasukan dari Ranau muncul sebagai johan keseluruhan. Pasukan Tuaran hanya menduduki tangga ketiga setelah hanya memenangi emas bagi acara bola sepak wanita dan perak bagi acara badminton berpasukan, tenis berpasukan, dan ping pong berpasukan.

Tema bagi kejohanan sukan ini ialah 'sukan untuk kesihatan'. Ianya selaras dengan kempen 'gaya hidup sihat' anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia di mana salah satu daripada 4 perkara yang dikempenkan ialah 'bersenam'. Kita semua tahu bahawa bersenam itu sendiri merupakan asas kepada nilai ukur tahap kecergasan seseorang atlit sukan. Tanpa senaman dan latihan yang mencukupi, sudah tentu pencapaian dalam sesuatu acara sukan tidak akan dapat dicapai dengan optimum. Dari sudut kesihatan, bersukan (bersenam) amat penting untuk membolehkan sistem fisiologi dalam badan berfungsi dengan optimum. Jantung tidak dipaksa bekerja dengan kuat dan otak juga akan lebih segar untuk berfikir.

Sesuai dengan badan kita yang memerlukan senaman dan latihan untuk sentiasa sihat dan cergas, demikian juga rohani kita memerlukan 'senaman/latihan' untuk sentiasa berada dalam 'kesegaran rohani'. Senaman rohani yang baik membolehkan seseorang sentiasa berasa diberkati Tuhan dan dapat menjadi 'alat' dan 'saluran' Tuhan untuk memberkati orang lain. Bahkan alkitab memberitahu kita dalam 1 Timotius 4: 7-8 bahawa latihan rohani adalah hal yang lebih penting daripada latihan jasmani kerana ia memberikan kebaikan dalam banyak hal; memberikan harapan kepada kehidupan sekarang dan kehidupan yang akan datang. Latihan rohani membolehkan kita menuju kedewasaan rohani yang mampan. Latihan rohani yang amat penting tidak lain dan tidak bukan ialah 'menyelidiki Firman Tuhan'.

Dengan menyelidiki firman Tuhan, kita mengetahui bagaimana melakukan ibadah yang sejati. Kita mengetahui bagaimana dan apa yang harus kita doakan. Kita akan menjadi lebih matang dalam Tuhan. Kita tidak akan mengalah kepada 'kejahatan', bahkan kita tahu bagaimana mengalahkan 'kejahatan' dengan 'kebaikan'. Kita tidak akan mudah jatuh di sepanjang jalan hidup Kekristianan kita. Jika terjatuh pun kita akan dapat bangkit dengan cepat dan malah akan menjadi lebih kuat daripada sebelumnya. Kita akan berjalan tanpa ragu2 kerana firmanNya menerangi jalan kita, dan kita tahu apa yang kita ingin capai dalam hidup sesuai dengan kehendak firmanNya.

Nota: Ingatlah bahawa semakin kita lemah dalam perjalanan iman kita, itu bermakna kita memerlukan senaman/latihan rohani. Selidikilah firmanNya dan hiduplah sesuai dengan firmanNya. Shallom!

No comments:

Post a Comment

"Perkataan yang baik merupakan berkat bagi banyak orang." (Amsal 10: 21)