Pada perkongsian kali ini, saya ingin mengajak teman-teman sekalian untuk merenung satu perkara yang saya percaya menjadi kerinduan bagi semua orang iaitu; doa dikabulkan oleh Tuhan. Saya ingin mengongsikan kesaksian peribadi saya ketika saya masih menuntut di UKM dalam jurusan perubatan.
Selama saya bersekolah dari tingkatan satu sampailah ke universiti saya tidak pernah gagal dalam peperiksaan. Malah saya menjadi antara pelajar terbaik sekolah di mana saya belajar; SMK Tandek (1989-1991), SMK Kota Marudu (1992-1993). Saya memiliki satu keyakinan yang tinggi di dalam diri, bahawa saya pasti boleh berjaya, dan saya berasa selesa dengan kejayaan-kejayaan itu.
Pengajian perubatan merupakan bidang yang amat berat dan memerlukan komitmen yang tinggi. Walau pun mata-mata pelajaran sains adalah asas kepada kursus ini, tetapi belajar perubatan sangat berbeza berbanding belajar Biologi, Kimia, Fizik, dan Matematik. Tanpa minat yang mendalam, tidak mudah untuk melalui suka duka di sepanjang tahun-tahun pengajian.
Tahun 1 dan 2, saya masih dapat survive dalam setiap peperiksaan semester. Masuk tahun ke-3, saya mula merasakan kesukaran yang amat ketara. Saya menjadi lemah semangat dan tidak dapat menumpukan perhatian dengan baik dalam pelajaran. Tambahan pula masalah kewangan yang saya alami ketika itu menambahkan lagi stress sedia ada. Kerana stress kadang-kadang saya ponteng tutorial dan jarang ke hospital untuk praktis periksa pesakit. (u/p pengajian perubatan di UKM ialah selama 5 tahun; 1-2 belajar teori, 3-5 belajar klinikal). Saya lebih cenderung berkurung dalam bilik dan melayan stress tersebut. Saya berusaha juga belajar, tetapi terlalu sedikit yang masuk dalam otak. Apa yang terjadi, dipendekkan cerita, saya telah gagal peperiksaan kedua-dua semester pada tahun pengajian tersebut (sesi 1998/1999) dan terpaksa mengulang tahun pengajian pada sesi pengajian berikutnya, 1999/2000.
Saya menjadi sangat sedih dan hilang keyakinan diri. Saya tidak tahu apa yang harus dibuat. Saya malu pada keluarga, malu pada kawan-kawan, dan malu pada diri sendiri. Saya mula bertanya kepada diri saya sendiri, "Benarkah saya mahu menjadi seorang doktor? Di mana saya harus letakkan muka ini jika inilah titik noktah pengajian saya di sini? Jika saya gagal di sini, saya mengecewakan keluarga saya."
Saya teringat ketika saya baru berumur 6 tahun, ibu saya bertanya apa cita-cita saya apabila saya sudah besar nanti, saya katakan, "Saya mau jadi doktor." Mengenangkan itu, saya menjadi semakin risau. Saya menangis sendirian... Hanya Tuhan yang menemani.
Waktu itu, saya baru mula semakin giat di gereja. "Tuhan, di manakah Engkau? Kenapa membiarkan saya gagal", begitulah saya menyoal Tuhan. Tipikal orang yang hanya mencari Tuhan di saat mengalami kesusahan. Saya tidak mendengar suara Tuhan berkata dengan jelas, tapi jauh di sudut hati saya, saya mengetahui dengan jelas bahawa Tuhan menuntut sesuatu dari saya. PertanyaanNya kepada Petrus pada malam sebelum dia ditangkap oleh tentera Roma semakin jelas dan kerap menerjah dalam hati dan fikiran saya, "Adakah kau mengasihi Aku?"
Pada hari di mana saya mengetahui kegagalan saya dalam peperiksaan dan perlu mengulang tahun pengajian, saya mengambil keputusan untuk pergi ke gereja. Saya berlutut di hadapan Tuhan, memohon keampunan atas segala kelalaian saya selama itu. Saya bernazar di hadapan Tuhan bahawa jika Tuhan memimpin saya sehingga saya lulus pengajian perubatan, saya akan menghadiahkan kejayaan itu untuk kemuliaanNya.
Saya mengambil keputusan untuk tidak balik bercuti di kampung pada tahun itu. Saya menghabiskan kebanyakan waktu untuk terlibat dengan pelayanan, bekerja sambilan di kilang pembuatan peralatan elektronik, dan mengulangkaji pelajaran. Saya memulakan pengajian pada sesi berikutnya dengan tekad baru; tidak lagi bersandar kepada kekuatan dan kemampuan sendiri. Saya berusaha dan hanya berserah kepada Tuhan.
Tahun-tahun berikutnya saya masih lalui dengan kepayahan, tetapi saya percaya Tuhan memimpin dan memelihara saya. Saya berjaya sampai ke tahun akhir pengajian saya, dan kini hanya peperiksaan akhir yang menjadi penghalang sebelum saya dapat bergelar seorang doktor.
Saya gementar juga menghadapi peperiksaan akhir, kerana secara manusia kerisauan menemui kegagalan sekali lagi tidak lari dari mengganggu fikiran. Pada malam sebelum peperiksaan bermula, seorang diri di dalam kamar, saya sekali lagi berlutut di hadapan Tuhan. Saya berdoa, "Tuhan, saya tahu bahawa dengan segala usaha saya selama ini pun, tidak mungkin saya mengetahui semua perkara, dan saya tahu bahawa saya tidak akan mampu lulus peperiksaan ini hanya dengan segala pengetahuan yang saya miliki. Justeru itu saya memohon pertolonganMu ya Tuhan agar memampukan saya untuk lulus peperiksaan akhir ini."
Keesokan harinya saya melangkah masuk dewan peperiksaan dengan tenang dan penuh keyakinan kepada Tuhan. Soalan peperiksaan memang susah. Buat presentation di hadapan examiners juga susah. Sesi soal jawab pun susah. Segalanya tidak mudah. Namun semuanya kuharungi dengan tabah.
Pada hari pengumuman keputusan peperiksaan akhir tersebut, kami berkumpul sekali lagi di ruang legar Bangunan Pentadbiran HUKM. Kami hanya perlu tahu lulus atau gagal. Satu-persatu nama disebut. Jika nama tidak disebut, itu bermakna gagal. Rakan-rakan lain mula rimas tatkala nama belum disebut. Mereka yang sudah disebut nama melonjak gembira. Saya duduk dengan tenang, turut mengharapkan agar nama akan disebut.
Penantian akhirnya menemui jawapan. Saat nama saya disebut, diri saya terasa ringan. Saya hanya berdiam diri, kelu lidah berkata-kata. Namun jauh di lubuk hati, saya berbicara kepada Tuhan, "Bukan saya, tetapi Tuhanlah yang memungkinkan semua ini. Kejayaan ini untukMu Tuhan. Sesungguhnya padaMulah segala kehormatan dan kemuliaan. "
Hari-hari seterusnya, hingga hari ini dan sampai selamanya, saya selalu berkata kepada Tuhan bahawa Dialah segalanya. Kebanggaan saya yang terutama hanyalah kerana saya milik Tuhan dan saya memiliki Tuhan dalam hidup saya. Jauh melebihi segala kebanggan yang lain, kerana tanpa Tuhan, tidak ada segala kejayaan ini. Tanpa Tuhan, tidak akan ada makna hidup ini. Tuhanlah yang terbaik, dan justeru itu hati ini sentiasa rindu dan berusaha untuk memberi dan menjadi yang terbaik untuk Tuhan; Yesus kekasih jiwaku.
Kesaksian sngt memberkati saya. Terlalu banyk yg sya fikir dalam hidup sya, smpai sya tidak tau mana mo fokus. Kadang2 sya terlalu ego dengan tidak mengakui posisi sya sekarang terutama di mata Tuhan. Terima kasih atas kesaksian Dr Nellson. Tuhan memberkati
ReplyDeleteKekuatan berdoa dan kebergantungan kepada Allah akan menyaksikan betapa sebenarnya pekerjaan Allah dan kehendak-Nya ke atas kita sangat ajaib!
ReplyDeletedi dalam setiap cabaran, ada kisah yang perlu diteliti. Dunia penuh dengan pancaroba dan kesengsaraan tetapi Dia, Allah itu terlalu ADIL untuk kita bertanya KENAPA untuk pertanyaan atas semua derita di atas bumi.
Kesaksian mengajar kita Allah itu Maha Ajaib kepada yang setia kepada-Nya.
Maaf, kerana siapa juga saya untuk memberikan komen sebegini untuk seorang yang berjaya dan berjiwa besar seperti Dr... saya hanya mampu membaca kisah ini untuk dijadikan inspirasi dalam hidup saya
"Percayalah kepada Tuhan dengan segenap hatimu" artinya, apapun terjadi kita harus bisa mengucap syukur dan percayalah kalau Tuhan pasti memberikan yang terbaik.
ReplyDeleteBagaimana cara kita mempercayai Tuhan? melalui perkataan kita, melalui perbuatan kita "Demikianlah hendaknya terangmu bercahaya di depan orang, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik dan memuliakan Bapamu yang di sorga."