Alkitab menyatakan bahawa darah Yesus berkuasa. Justeru kerana itu ramai orang Kristian yang menyeru kuasa darah Yesus
dalam banyak aspek kehidupan. Ungkapan-ungkapan seperti, “Tutup bungkus dengan
darah Yesus”, “ Suci kuduskan dengan darah Yesus”, “Usir dengan darah Yesus”
sudah seringkali kita dengar. Tetapi adakah semua ungkapan ini membawa maksud
yang jelas dan benar tentang kuasa darah Yesus atau hanya menjadi satu ikutan
yang subjektif?
Untuk mengerti maksud kuasa darah Yesus yang sesungguhnya,
pertama sekali mari kita lihat maksud darah itu sendiri menurut alkitab. Kitab
Imamat memberitahu kita bahawa “Nyawa
tiap-tiap makhluk terkandung di dalam darahnya. Itulah sebabnya TUHAN
memberikan perintah supaya semua darah dituangkan ke atas mazbah untuk
menghapuskan dosa umat. Darah, iaitu nyawa, menghapuskan dosa.” Imamat
17:11 (BM). Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa darah adalah nyawa.
Upah dosa ialah kematian (Roma 6: 23) dan dalam konteks
penulisan ini penumpahan darah membawa maksud kematian. Itulah sebabnya dosa
hanya dapat diampunkan dengan penumpahan darah, iaitu kematian sebagai bayaran
bagi dosa. “Sebenarnya, menurut Taurat,
hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat
diampunkan jika ada penumpahan darah.” Ibrani 9:22 (BM). Oleh itu
(penumpahan) darah Yesus secara ringkasnya bermaksud kematian Yesus.
Kuasa sebenar darah Yesus (kematian Yesus) ialah pengampunan
dosa. Yesus sendiri mengesahkannya ketika Dia menyempurnakan perjamuan Paskah yang
terakhir sebelum Dia ditangkap. Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah
dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka
diampunkan.” Matius 26: 28 (BM). Darah Yesus berkuasa untuk mengampunkan
dosa kerana Yesus tidak berdosa.
Sebagai korban pengampunan dosa, Yesus menjadi seperti anak
domba yang tidak bercacat cela. “Dia tidak
pernah berdosa dan sesiapa pun tidak pernah mendengar Dia berdusta.” 1
Petrus 2:22 (BM). Itulah yang menjadikan darahNya (pengorbananNya) sangat
berharga. Lebih berharga daripada emas atau perak dan bersifat kekal (1 Petrus 1:
18-19). Dengan demikian Dia hanya perlu melakukannya sekali sahaja untuk
selama-lamanya (Ibrani 10: 10).
Walaupun Yesus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita,
Allah sendiri telah meletakkan dosa kita pada Dia (2 Korintus 5: 21). Kematian Yesus
adalah atas kerelaanNya sendiri. “Sesiapapun
tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa
menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang
Kuterima daripada Bapa-Ku.” Yohanes 10: 18 (AVB). Maut tidak berkuasa ke
atas-Nya dengan bangkit daripada kematian (Roma 6:9).
Kuasa darah Yesus bukan seperti ubat yang hanya berkesan setiap
kali diambil atau seperti lautan yang ada pasang surutnya. Yesus telah menyatakan kuasa darahNya ketika
Dia menyerahkan nyawaNya di kayu salib di bukit Golgota. Namun kuasa itu hanya
dapat kita alami jika kita mengakui tubuh dan darah Yesus yang
dipersembahkan-Nya sebagai korban pengampunan dosa kita. Kuasa itu mula dan terus
bekerja dalam hidup kita saat kita percaya dan menerima Dia sebagai Tuhan dan
penyelamat.
Iblis hanya diibaratkan seperti singa yang
mengaum sambil mencari mangsa (1 Petrus 5: 8). Tetapi Yesuslah singa dari Yehuda
(Wahyu 5: 6) yang telah menjadikan kita lebih daripada pemenang (Roma 8: 37). Di
dalam Kristus kita menjadi ciptaan yang baru (2 Korintus 5: 17). Kita hanya
perlu taat kepada Allah, melawan Iblis dengan tidak menuruti kehendaknya, maka
Iblis akan lari daripada kita (Yakobus 4: 7). Termulialah Yesus, Anak Domba
Allah, yang telah menghapus dosa dunia (Yohanes 1: 29).
No comments:
Post a Comment
"Perkataan yang baik merupakan berkat bagi banyak orang." (Amsal 10: 21)