Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Sunday, May 10, 2020

IBU, ENGKAULAH RATU HATIKU


"Hai anakku, lakukanlah perintah bapamu, dan jangan lupakan ajaran ibumu." Amsal 46: 20 (BM)

Kami ada seramai lima orang adik-beradik. Tiga lelaki dan dua perempuan. Sebenarnya lapan orang kalau hidup semua, tetapi dua yang lain telah meninggal ketika masih kecil dan seorang lagi meninggal ketika lahir. Saya merupakan anak yang keempat. Saya ada dua orang abang, seorang kakak dan seorang adik perempuan.

Keluarga kami bukanlah keluarga yang berada. Kami menjalani kehidupan dengan cukup sederhana. Tetapi satu hal yang pasti, keluarga kami adalah sebuah keluarga yang memelihara nilai-nilai kekeluargaan yang sejati. Ayah sangat mengasihi ibu dan begitu juga ibu dengan ayah. Sebagai ibu bapa, saya tahu mereka sangat menyayangi kami dan telah berusaha mendidik kami dengan sebaik mungkin. Sebagai anak-anak pula, kami sudah belajar erti mengasihi dan menghormati ibu bapa.

Semuanya dalam keadaan biasa sehingga peristiwa yang berlaku pada malam 27 Mei 1986. Peristiwa sedih yang telah memberi impak besar dalam kehidupan kami sekeluarga. Peristiwa yang telah mengubah sejarah dan riwayat hidup kami. Secara peribadi, peristiwa yang telah mula mengajar saya tentang erti perjuangan hidup di dalam kepayahan. Saya baru berumur sepuluh tahun, manakala adik Lina berumur lapan tahun. Abang Otto bakal menduduki peperiksaan SPM. Manakala abang Onoi bakal menduduki peperiksaan SRP. Kakak Oyong pula baru di Tingkatan Satu.

Suasana malam itu tidak banyak berbeza berbanding malam-malam sebelumnya. Cuma gelapnya lebih pekat tanpa kehadiran cahaya bulan. Hanya kerlipan bintang-bintang yang berselerakan memenuhi ruang angkasa. Kesunyian malam membolehkan bunyi cengkerik dan unggas malam lebih jelas kedengaran bersahut-sahutan. Hanya sesekali disulami oleh siulan dedaun pepohonan di perkarangan rumah, ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Makan malam kami berlaukkan ikan turongow, dungkarow, dan tonggiput. Ibu masak tinopuru. Semuanya hasil tangkapan ibu, adik Lina dan saya ketika meniyud di sungai Longob selepas pulang dari sekolah.

Sementara saya dan adik Lina masih menikmati saki baki makanan, saya mendengar perbualan ayah dan ibu di serambi rumah. Mereka bercadang untuk sumombol di rumah makcik Saruda. Ibu meminta ayah menunggunya sebentar kerana ingin minum air terlebih dulu. Saya melihat ibu berjalan masuk ke dapur seperti biasa. Namun tidak lama selepas itu, tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga pepohonan di perkarangan rumah bergoyang dan berdesing dengan kuat.

Ibu sangat terkejut dan berlari keluar dari dapur menuju kepada ayah sambil berteriak, “Abaaannggg...!” Tepat di ambang pintu, seperti direnjat, ibu menjadi kaku lalu rebah ke pangkuan ayah. Ayah mendakap dan cuba menyedarkan ibu, tetapi tiada sebarang respon. Memanggil ayah, itulah perkataan terakhir yang keluar dari mulut ibu. Saya sedar ibu telah tiada. Saya hanya mampu menangis, sementara malam semakin pekat. Di bulan sambutan Hari Ibu, ibu telah pergi bersama Tuhan di Firdaus. Tidak ada ucapan selamat tinggal dari ibu dan tidak ada ucapan selamat jalan dari kami. Mungkin kerana ibu tahu bahawa perpisahan di dunia ini bukanlah perpisahan buat selama-lamanya.

Kasih sayang seorang ibu pasti tidak akan dilupakan oleh seorang anak. Seorang ibu garang terhadap anaknya kerana dia mengenal anak itu sejak dari rahimnya. Ikatan antara ibu dan anak adalah sesuatu yang istimewa. Akan kekal selamanya meski dipisahkan oleh masa dan jarak. Kasih sayang yang tercipta adalah kasih sayang yang sejati. Saling memahami dan saling memaafkan. “Ibu, meski sudah puluhan tahun masa berlalu, damailah bersama Tuhan sehingga kita bertemu lagi di rumah Bapa di Syurga.” 

SELAMAT HARI IBU. Tuhan Yesus memberkati kita semua. Amin.

Tuesday, April 21, 2020

KUASA DARAH YESUS

Alkitab menyatakan bahawa darah Yesus berkuasa. Justeru kerana itu ramai orang Kristian yang menyeru kuasa darah Yesus dalam banyak aspek kehidupan. Ungkapan-ungkapan seperti, “Tutup bungkus dengan darah Yesus”, “ Suci kuduskan dengan darah Yesus”, “Usir dengan darah Yesus” sudah seringkali kita dengar. Tetapi adakah semua ungkapan ini membawa maksud yang jelas dan benar tentang kuasa darah Yesus atau hanya menjadi satu ikutan yang subjektif?


Untuk mengerti maksud kuasa darah Yesus yang sesungguhnya, pertama sekali mari kita lihat maksud darah itu sendiri menurut alkitab. Kitab Imamat memberitahu kita bahawa “Nyawa tiap-tiap makhluk terkandung di dalam darahnya. Itulah sebabnya TUHAN memberikan perintah supaya semua darah dituangkan ke atas mazbah untuk menghapuskan dosa umat. Darah, iaitu nyawa, menghapuskan dosa.” Imamat 17:11 (BM). Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa darah adalah nyawa.

Upah dosa ialah kematian (Roma 6: 23) dan dalam konteks penulisan ini penumpahan darah membawa maksud kematian. Itulah sebabnya dosa hanya dapat diampunkan dengan penumpahan darah, iaitu kematian sebagai bayaran bagi dosa. “Sebenarnya, menurut Taurat, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat diampunkan jika ada penumpahan darah.” Ibrani 9:22 (BM). Oleh itu (penumpahan) darah Yesus secara ringkasnya bermaksud kematian Yesus.

Kuasa sebenar darah Yesus (kematian Yesus) ialah pengampunan dosa. Yesus sendiri mengesahkannya ketika Dia menyempurnakan perjamuan Paskah yang terakhir sebelum Dia ditangkap. Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan.” Matius 26: 28 (BM). Darah Yesus berkuasa untuk mengampunkan dosa kerana Yesus tidak berdosa.

Sebagai korban pengampunan dosa, Yesus menjadi seperti anak domba yang tidak bercacat cela. “Dia tidak pernah berdosa dan sesiapa pun tidak pernah mendengar Dia berdusta.” 1 Petrus 2:22 (BM). Itulah yang menjadikan darahNya (pengorbananNya) sangat berharga. Lebih berharga daripada emas atau perak dan bersifat kekal (1 Petrus 1: 18-19). Dengan demikian Dia hanya perlu melakukannya sekali sahaja untuk selama-lamanya (Ibrani 10: 10).

Walaupun Yesus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah sendiri telah meletakkan dosa kita pada Dia (2 Korintus 5: 21). Kematian Yesus adalah atas kerelaanNya sendiri. “Sesiapapun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku.” Yohanes 10: 18 (AVB). Maut tidak berkuasa ke atas-Nya dengan bangkit daripada kematian (Roma 6:9).

Kuasa darah Yesus bukan seperti ubat yang hanya berkesan setiap kali diambil atau seperti lautan yang ada pasang surutnya.  Yesus telah menyatakan kuasa darahNya ketika Dia menyerahkan nyawaNya di kayu salib di bukit Golgota. Namun kuasa itu hanya dapat kita alami jika kita mengakui tubuh dan darah Yesus yang dipersembahkan-Nya sebagai korban pengampunan dosa kita. Kuasa itu mula dan terus bekerja dalam hidup kita saat kita percaya dan menerima Dia sebagai Tuhan dan penyelamat.

Iblis hanya diibaratkan seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa (1 Petrus 5: 8). Tetapi Yesuslah singa dari Yehuda (Wahyu 5: 6) yang telah menjadikan kita lebih daripada pemenang (Roma 8: 37). Di dalam Kristus kita menjadi ciptaan yang baru (2 Korintus 5: 17). Kita hanya perlu taat kepada Allah, melawan Iblis dengan tidak menuruti kehendaknya, maka Iblis akan lari daripada kita (Yakobus 4: 7). Termulialah Yesus, Anak Domba Allah, yang telah menghapus dosa dunia (Yohanes 1: 29).