Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Friday, January 15, 2010

Rejoice In The Lord Always

"Bersukacitalah senantiasa dalam Tuhan! Sekali lagi kukatakan: Bersukacitalah!" (Filipi 4:4, ITB).

Shallom dan salam sejahtera kepada pengunjung setia VCM. Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru 2010!

Sedikit terlambat kerana banyak 'kesedihan/kesusahan' datang menimpa saya beberapa waktu yang lalu hingga menghalang untuk berkongsi lebih awal/kerap dalam VCM ini. Namun di sebalik segala suka duka 2009, satu perkara yang sangat membangun iman saya ialah peringatan Tuhan dalam Filipi 4:4 bahawa kita haruslah tetap bersukacita selalu (senantiasa dalam bahasa Indonesia). Selalu yang pastinya bermakna setiap saat, tidak kira saat kita tertawa mahupun saat menangis kerana segala sesuatu ada waktunya.

Ketika merenungkan ayat yang indah ini, saya dapati bahawa di dalam Tuhan, sukacita itu kekal ada sekalipun ketika kita berada dalam kesusahan. Sukacita itu ada di dalam hati kita bukan kerana oleh keadaan sekeliling atau oleh keyakinan ke atas kekuatan diri kita sendiri tetapi oleh keyakinan iman ke atas Dia yang penuh kasih dan keyakinan atas kuasa-Nya yang tak terbatas, sentiasa 'in control' tidak kira betapa buruk/peritnya keadaan yang berlaku sedang menimpa kita.

Sukacita juga kekal ada dalam hati walau apapun keadaan kerana kita percaya bahawa "Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia" (Roma 8:28, ITB). Dalam kata lain, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya jika kita tetap percaya dan bersandar kepada Dia. Tuhan itu maha bijaksana dan tidak mungkin melakukan kesilapan. Lagipula, Tuhan sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada kita manusia meskipun adakalanya yang baik dari Dia itu kelihatan tidak baik di mata kita. Percayalah bahawa apapun keadaan, "TUHAN Allah adalah matahari dan perisai; kasih dan kemuliaan Ia berikan; Ia tidak menahan kebaikan dari orang yang hidup tidak bercela" (Mazmur 84:11, ITB).

Sukacita pasti akan tinggal di dalam hati kita bila kita sedar dan mengerti bahawa kita bukan diselamatkan oleh perbuatan kita tetapi oleh iman di dalam kasih Bapa melalui Yesus Kristus. Maksudnya, betapa jahat pun kita, betapa banyak kali pun kita jatuh di dalam dosa, keselamatan itu adalah milik kita setiap kali kita datang kembali kepada Yesus di dalam iman akan pengampunanNya bagi setiap dosa-dosa kita. Betapa baiknya Tuhan kita.

Dengan kebaikan Tuhan yang sempurna bagi saya dan bagi anda, masih adakah sebab untuk kita berduka? Tidak ada sama sekali. Di dalam Tuhan tidak ada sebab untuk kita bersedih hingga berputus asa dalam hidup.

Pilihlah untuk terus berjalan bersama Tuhan sepanjang tahun 2010 ini. Biarlah ini menjadi doa peribadi kita setiap hari di tahun yang baru ini "Ajarlah kami menghitung hari-hari kami sedemikian, hingga kami beroleh hati yang bijaksana." (Mazmur 90:12, ITB).


Tuhan memberkati kita.


1 comment:

"Perkataan yang baik merupakan berkat bagi banyak orang." (Amsal 10: 21)