Pagi ini sementara saya duduk dalam bilik konsultasi
ACS dan membuka laptop untuk cek blog dan emel. Saya menerima satu SMS dari adik saya Maslinah. Berikut adalah kandungan SMS tersebut, "Shalom, abang jangan terkejut. Si Nimrod anak Pdt. Jimmy meninggal subuh ini kerana kemalangan jalan raya. Tolong berdoa bagi
family Nimrod termasuk anak dan isterinya. Lina pun sangat terkejut dan sedih bila mendengar khabar ini. Martiah yang mesej dan beritahu Lina."
Saya tersentak dengan mesej itu. Masih agak tidak percaya dengan berita yang saya baru dengar. Saudara Nimrod merupakan seorang guru yang bertugas di PPD Kudat. Di dalam gereja beliau merupakan Timbalan Pengerusi Belia Pusat PCS.
Beliau merupakan junior saya di UKM, cuma berbeza bidang dan kampus. Ketika di universiti beliau sudah begitu giat dalam pelayanan di gereja SIB. Apabila beliau kembali ke Sabah, beliau tidak menunggu lama untuk maju dalam kerjaya dan pelayanan kerana beliau memang seorang yang komited dan begitu bersemangat dalam kerjaya dan pelayanan.
Beliau masih muda. Kali terakhir saya bertemu beliau ialah ketika retreat Belia PCS di Kionsom, Inanam pada bulan Disember tahun lalu. 'Pemergian' beliau ini sudah pasti satu kehilangan yang besar, bukan sahaja kepada isteri dan anak beliau yang masih kecil, bahkan kepada seluruh rakan2 di tempat kerja dan rakan2 sepelayanan seperti saya dan PCS sebagai gereja yang menaungi beliau.
Apa yang dapat saya perkatakan di sini. Kematian tidak pernah mengenal usia, jantina dan kedudukan seseorang. Ia boleh menjemput kita bila2 masa dalam hidup kita ini. Ada orang yang sudah sangat tua berkata, "kenapa mesti cucu saya yang meninggal dan bukan saya yang sudah amat tua dan tidak bersemangat untuk hidup lagi?" Tapi siapakah kita untuk mementukan takdir kita sendiri. Kehendak Tuhan juga yang terjadi.
Sebaik-baik perkara yang dapat kita lakukan kata 'Pengkhutbah' ialah menikmati hidup ini dan melakukan yang terbaik untuk Tuhan. Hidup di dunia hanya sekali. Itupun segera akan berlalu, tetapi apa yang kita lakukan untuk Tuhan, itu yang kekal abadi. "Sebab jika kita hidup, kita hidup untuk Tuhan, dan jika kita mati, kita mati untuk Tuhan. Jadi baik hidup atau mati, kita adalah milik Tuhan." (Roma 14: 8, Alkitab Terjemahan Baru INA)
Nota: Kepada isteri, anak, keluarga dan seluruh sahabat handai yang menyayangi peribadi ini, saya doakan penghiburan dan kesejahteraan dari Tuhan terus menyertai kita semua. Semoga kita terus kuat untuk meneruskan 'perjuangan' hidup, dan terus berlari ke arah tujuan hidup sesuai dengan panggilan Bapa melalui Yesus Kristus, Tuhan kita. Tuhan memberkati kita semua...