Kami ada
seramai lima orang adik-beradik. Tiga lelaki dan dua perempuan. Sebenarnya
lapan orang kalau hidup semua, tetapi dua yang lain telah meninggal ketika
masih kecil dan seorang lagi meninggal ketika lahir. Saya merupakan anak yang
keempat. Saya ada dua orang abang, seorang kakak dan seorang adik perempuan.
Keluarga
kami bukanlah keluarga yang berada. Kami menjalani kehidupan dengan cukup sederhana.
Tetapi satu hal yang pasti, keluarga kami adalah sebuah keluarga yang
memelihara nilai-nilai kekeluargaan yang sejati. Ayah sangat mengasihi ibu dan
begitu juga ibu dengan ayah. Sebagai ibu bapa, saya tahu mereka sangat
menyayangi kami dan telah berusaha mendidik kami dengan sebaik mungkin. Sebagai
anak-anak pula, kami sudah belajar erti mengasihi dan menghormati ibu bapa.
Semuanya dalam keadaan biasa sehingga peristiwa yang berlaku pada malam 27 Mei 1986. Peristiwa sedih
yang telah memberi impak besar dalam kehidupan kami sekeluarga. Peristiwa yang telah mengubah sejarah dan riwayat hidup kami. Secara
peribadi, peristiwa yang telah mula mengajar saya tentang erti perjuangan hidup
di dalam kepayahan. Saya baru berumur sepuluh tahun, manakala adik Lina berumur
lapan tahun. Abang Otto bakal menduduki peperiksaan SPM. Manakala abang Onoi
bakal menduduki peperiksaan SRP. Kakak Oyong pula baru di Tingkatan Satu.
Suasana malam
itu tidak banyak berbeza berbanding malam-malam sebelumnya. Cuma gelapnya lebih
pekat tanpa kehadiran cahaya bulan. Hanya kerlipan bintang-bintang yang
berselerakan memenuhi ruang angkasa. Kesunyian malam membolehkan bunyi
cengkerik dan unggas malam lebih jelas kedengaran bersahut-sahutan. Hanya
sesekali disulami oleh siulan dedaun pepohonan di perkarangan rumah, ditiup
angin sepoi-sepoi bahasa. Makan malam kami berlaukkan ikan turongow, dungkarow, dan tonggiput.
Ibu masak tinopuru. Semuanya hasil
tangkapan ibu, adik Lina dan saya ketika meniyud
di sungai Longob selepas pulang dari sekolah.
Sementara saya
dan adik Lina masih menikmati saki baki makanan, saya mendengar perbualan ayah
dan ibu di serambi rumah. Mereka bercadang untuk sumombol di rumah makcik Saruda. Ibu meminta ayah menunggunya
sebentar kerana ingin minum air terlebih dulu. Saya melihat ibu berjalan masuk ke dapur seperti
biasa. Namun tidak lama selepas itu, tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga pepohonan
di perkarangan rumah bergoyang dan berdesing dengan kuat.
Ibu sangat
terkejut dan berlari keluar dari dapur menuju kepada ayah sambil berteriak, “Abaaannggg...!”
Tepat di ambang pintu, seperti direnjat, ibu menjadi kaku lalu rebah ke
pangkuan ayah. Ayah mendakap dan cuba menyedarkan ibu, tetapi tiada sebarang respon. Memanggil
ayah, itulah perkataan terakhir yang keluar dari mulut ibu. Saya sedar ibu telah tiada. Saya hanya mampu menangis, sementara malam semakin pekat. Di bulan sambutan Hari
Ibu, ibu telah pergi bersama Tuhan di Firdaus. Tidak ada ucapan selamat tinggal dari ibu dan tidak ada ucapan selamat jalan dari kami. Mungkin kerana ibu tahu bahawa
perpisahan di dunia ini bukanlah perpisahan buat selama-lamanya.
Kasih sayang
seorang ibu pasti tidak akan dilupakan oleh seorang anak. Seorang ibu garang
terhadap anaknya kerana dia mengenal anak itu sejak dari rahimnya. Ikatan
antara ibu dan anak adalah sesuatu yang istimewa. Akan kekal selamanya meski
dipisahkan oleh masa dan jarak. Kasih sayang yang tercipta adalah kasih sayang
yang sejati. Saling memahami dan saling memaafkan. “Ibu, meski sudah puluhan
tahun masa berlalu, damailah bersama Tuhan sehingga kita bertemu lagi di rumah
Bapa di Syurga.”
SELAMAT HARI IBU. Tuhan Yesus memberkati kita semua. Amin.