Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Thursday, November 3, 2011

TUHAN PENGHARAPANKU

Pada tanggal 7 Disember 1998, di bahagian utara Armenia, suatu gempa bumi dengan kekuatan 6.9 skala richter telah menghancurkan sebuah bangunan sekolah bersama beberapa bangunan lain. Di tengah-tengah keriuhan dan suasana panik, seorang ayah berlari menuju ke kawasan tersebut kerana di situlah anaknya bersekolah. Sambil berlari, dia mengenangkan kata-kata yang sering dia ucapkan kepada anaknya itu, “Hai anakku, apapun yang terjadi, ayah akan selalu bersamamu!”

Sesampainya di tempat kejadian, yang ada hanyalah sebuah timbunan batu, kayu dan simen, sisa-sisa bangunan yang sudah hancur. Pada mulanya dia hanya berdiri di situ sambil menahan tangis. Namun tidak lama kemudian, tiba-tiba dia berjalan menghampiri tapak runtuhan bangunan sekolah dan berhenti di bahagian yang dia yakini dulunya merupakan ruang kelas anaknya. Dengan tangan kosong dia mula menggali dan mengangkat batu-batu yang berlonggok. 

Ada seseorang yang sempat menegurnya, “Pak, itu tak ada gunanya lagi. Mereka semua pasti sudah mati.” Tetapi sang ayah menjawab, “Kamu boleh hanya berdiri saja di sana, atau membantu saya mengangkat batu-batu ini!” Maka orang itu diikuti beberapa orang lagi mula menolong. Setelah beberapa jam mereka sudah keletihan dan mula berputus asa. Namun, si ayah tidak dapat berhenti memikirkan anaknya, lalu terus menggali.

Dua jam telah berlalu, kemudian lima jam, sepuluh jam, tigabelas jam, lapanbelas jam... Tiba-tiba si ayah mendengar suatu suara dari bawah papan yang roboh. Dia mengangkat sebahagian dari papan itu, dan berteriak, “Armando!” Dari kegelapan di bawah sana, terdengarlah suara kecil sang anak menyahut, “Papa!”. Kemudian disusuli oleh suara kanak-kanak lain yang ikut berteriak! Semua orang yang berada di sekitar reruntuhan itu, kebanyakannya ibu bapa kepada kanak-kanak itu, terkejut dan bersyukur ketika melihat dan mendengar teriakan mereka. Mereka menemui 14 kanak-kanak yang masih hidup!

Setelah Armando selamat dikeluarkan, dia turut membantu menggali dan mengangkat batu-batu sampailah semua temannya diselamatkan. Semua orang mendengar ketika dia berkata kepada teman-temannya itu, “Lihat, bukankah aku sudah katakan, bapaku pasti akan datang menyelamatkan kita!”

Saudara, mari kita renungkan perjalanan hidup kita. Di saat kita berada di dalam kegelapan, ditimpa oleh bermacam beban masalah, jatuh dalam kelemahan dan dosa. Adakah kita terus berkeluh kesah, putus harapan, lantas mengibarkan bendera putih tanda menyerah? Atau kita memilih untuk bersikap seperti Armando yang terus menggenggam HARAPAN bahawa ada Seseorang yang sedang mencari dan siap menyelamatkan kita? Seseorang yang tidak akan pernah membiarkan kita. Yesuslah peribadi itu. Dia tidak akan pernah berhenti untuk mencari dan menyelamat sampailah kita sudah berada di dalam pelukanNya.

“…seperti Aku menyertai Musa, demikianlah Aku akan menyertai Engkau; Aku tidak akan membiarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau.” (Yosua 1:5b)

Sumber: Dipetik dan diubahsuai dari http://renungan-harian-kita.blogspot.com