Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Monday, March 7, 2011

DOA SATU KEPERLUAN BUKAN PILIHAN

2 Tawarikh 7: 14
Berdoa dan berpuasa adalah pelayanan yang saya sentiasa rindukan. Setiap tahun, selain daripada gerakan doa dan puasa peribadi, saya juga selalu menyertai pelayanan doa dan puasa anjuran SIB Sabah dan NECF. Tahun ini adalah tahun ke-5 SIB Sabah menganjurkan pelayanan doa dan puasa yang sudahpun bermula pada 2 Mac yang lalu dan akan berakhir pada 2 April nanti. Tema pada tahun ini ialah 'Komitmen, Kasih, Kesatuan Dalam Kristus'.

Saudara/i, selain daripada memuji, menyembah dan merenungkan firman Tuhan, doa juga salah satu ciri penting orang Kristian yang sejati. Bahkan tidak mungkin seorang Kristian melakukan semua bentuk ibadah Kristiani yang lain dan tidak melakukan doa. Seorang Kristian yang sejati pasti mengerti bahawa hidup tanpa doa hakikatnya mati secara rohani, kerana doa pada dasarnya adalah pernafasan rohani yang menghubungkan Roh kita dengan Roh Allah.

Malangnya ramai orang Kristian tidak suka berdoa. Malah ada sesetengah orang Kristian sendiri yang memperlekehkan perkara doa; menganggap doa itu tidak penting dan tidak dapat mengubah apa2 keadaan. Ada juga yang beranggapan bahawa gereja sudah terlalu banyak berdoa dan sudah sampai waktunya untuk 'bekerja'. Mereka lebih mementingkan perancangan dan tindakan menurut hikmat dan kebijaksanaan manusia. Mereka lupa bahawa doa itu sendiri adalah satu tindakan iman kerana perjuangan kita sebenarnya 'bukanlah melawan darah dan daging, tetapi penguasa2 dan roh2 jahat di udara' (Ef. 6: 12).

Jika kita amati dengan teliti, apa pun denominasinya, sukar kita temukan gereja dengan sekurang2nya 10% daripada jumlah jemaatnya setia menghadiri persekutuan doa gereja (Kita kecualikan mereka yang kurang upaya). Inikah yang dikatakan sudah terlalu banyak berdoa? Selalunya mereka yang mempersoalkan tentang doa itu sendiri sebenarnya yang belum berdoa dengan sungguh2. Antara alasan yang sering kita dengar ialah sibuk dan tidak ada masa terluang. Tidak kurang juga yang memberi alasan tidak ada panggilan untuk pelayanan doa atau tidak berkeyakinan berdoa dengan suara kedengaran kerana tidak pandai menyusun kata2 dengan baik.

Doa bukan satu pilihan saudara/i. Ia adalah satu keperluan dan kewajipan. Kita tidak perlu menanti panggilan Tuhan untuk menjadi pendoa. Jika saudara/i rindu Tuhan bekerja di dalam dan melalui dirimu, mulakanlah pencarian 'wajah Tuhan' di dalam doa peribadimu. Jika saudara/i rindu Tuhan bekerja dalam keluarga dan gerejamu, maka pimpinlah keluargamu berdoa bersama2 dan sertailah persekutuan doa gereja.

Tuhan bukan mahu mendengar tutur katamu yang tersusun dan suaramu yang merdu. 
Dia mendengar doamu yang diungkapkan dari lubuk hati yang terdalam.
"Prayer, the Mightiest Power in the World." -Frank Laubach