Dua minggu yang lalu saya menyampaikan firman Tuhan di gereja SIB Pekan Tuaran berdasarkan tema pelayanan gereja tersebut sepanjang bulan Julai dan Ogos, iaitu Pelayanan Pendamaian. Saya memetik ayat firman Tuhan dalam Mat. 19: 19 yang berkata, "Hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri." Dalam ayat firman Tuhan ini saya telah menerangkan bahawa sebagai orang2 percaya yang sudah diperdamaikan dengan Bapa di syurga melalui Yesus, kita dituntut untuk melakukan perdamaian dengan ibubapa kita, orang lain dan juga dengan diri sendiri. Dan hukum yang terpakai ialah 'mengasihi'.
Namun jika kita meneliti keseluruhan petikan firman Tuhan (Mat. 19: 16-30) yang mengandung ayat di atas, kita akan dapati bahawa situasi sebenar ketika itu ialah seorang pemuda kaya telah bertanya kepada Yesus tentang perbuatan baik yang boleh dilakukannya untuk memperoleh hidup sejati dan kekal. Yesus kemudian memberitahu pemuda kaya itu tentang hal mentaati hukum Taurat yang Allah sudah sampaikan melalui Musa dahulu. Dengan bangga pemuda kaya itu menjawab bahawa dia sudah mentaati semuanya dan bertanya jika ada apa2 lagi yang dia perlu lakukan.
Sebenarnya jika manusia boleh diselamatkan hanya dengan mentaati hukum Taurat, maka tidak perlulah Yesus datang ke dunia ini untuk menebus dosa manusia. Malangnya pemuda kaya itu tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami hal itu. Ia terbukti apabila Yesus menyuruhnya menjual semua harta dan memberikannya kepada orang miskin, dan mengikut Dia. Ternyata pemuda kaya itu tidak sanggup untuk melepaskan segala kekayaannya untuk mengikut Tuhan.
Adakah kita memang tidak diperbolehkan untuk menjadi kaya atau kekayaan itu bertentangan dengan kehendak Tuhan? Secara peribadi saya berpendapat bahawa kekayaan itu sendiri bukanlah kekejian bagi Tuhan kerana banyak perkara di dunia ini, bahkan hal2 tentang pelayanan, memerlukan wang dan harta benda. Saya percaya, jika berpeluang, tidak ada orang normal yang tidak ingin menjadi kaya. Dan seperti pemuda dalam cerita alkitab ini, seseorang yang kaya pasti sukar untuk melepaskan kekayaannya untuk suatu perkara yang tidak dapat diterima oleh akal fikirannya (dalam konteks ini merujuk kepada tujuan mengikut Yesus).
Alkitab menyatakan bahawa semua orang sudah berdosa dan tidak ada seorang pun yang benar2 telah mentaati seluruh hukum Taurat. Itulah sebabnya ketika guru2 Taurat dan orang2 Farisi membawa seorang wanita berdosa di hadapan Yesus dan bertanya tentang hukuman yang setimpal dengan dosanya, Yesus hanya berkata, "Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia." (Yoh. 8: 7) Tidak ada seorang pun yang berani berbuat demikian kerana mereka semua mengetahui dengan sungguh bahawa tidak ada seorang pun (termasuk guru2 Taurat dan orang2 Farisi sendiri) yang tidak pernah berdosa dan telah mentaati hukum Taurat sepenuhnya.
Dalam kes pemuda kaya ini, kekayaannya telah digunapakai oleh iblis untuk membutakan mata rohaninya sehingga dia menjadi sombong dan angkuh. Keangkuhan dan kesombongannya itulah yang membuatkan dia tidak dapat melihat dan menerima Yesus sebagai jalan keselamatan hidupnya. Sebenarnya pemuda itu juga merupakan salah seorang pemimpin di kalangan bangsanya (Luk. 18: 18). Dia beranggapan bahawa dia sudah mentaati Taurat dan layak untuk menerima hidup sejati dan kekal. Saya melihat pertanyaannya kepada Yesus hanyalah bertujuan untuk mendapatkan pengesahanNya saja. Tetapi ternyata jangkaan pemuda kaya itu meleset.
Yesus cuba menyedarkan pemuda kaya itu dengan mengambil kekayaan yang dia miliki sebagai suatu perumpamaan. Seperti mana sukarnya dia melepaskan kekayaannya, demikian juga tidak mungkin dia sudah mentaati semua hukum taurat itu. Mesej yang Yesus mahu sampaikan kepada pemuda kaya itu sebenarnya ialah "Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku." (Yoh. 14: 6) Malangnya pemuda kaya itu tidak mengerti atau sengaja tidak mahu mengakui ketuhanan Yesus.
Mungkinkah ada di antara kita juga yang memiliki suatu 'kekayaan' yang membuatkan kita menjadi seperti pemuda kaya itu. 'Kekayaan' itu mungkin hanya berupa ketampanan, kecantikan, kemerduan suara, bakat luar biasa bermain muzik, penari yang hebat, khutbah yang efektif atau pangkat yang tinggi. Yesus berkata, "Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki (menyangkal diri), dan berikan wangnya kepada kepada orang miskin (melayani dengan sungguh2), maka kamu akan beroleh harta di syurga (berkat syurgawi). Kemudian marilah ikutlah Aku (memiliki hidup sejati dan kekal)." (Mat. 19: 21)
"Di saat kita mula merasakan diri kita semakin sempurna, kita sebenarnya semakin menjauh dari Dia yang menyempurnakan kita." -IsOn.