Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Friday, March 26, 2010

BERPAUT PADA HARAPAN

Hari Ahad yang lalu saya berbakti dan melayani di gereja SIB Pekan Tenghilan. Saya membawa bersama team PMM (Persekutuan Muda-Mudi) dari gereja SIB Pekan Tuaran untuk membantu melayani dalam Pujian dan Penyembahan. Sementara saya melayani melalui penyampaian firman Tuhan.

Saya mengambil tajuk di atas sebagai tema dan memetik ayat2 Alkitab dalam 1 Samuel 1: 1-28 (sila klik untuk membaca petikan tersebut); Cerita tentang Hana, isteri Elkana, yang kemudiannya menjadi ibu kepada Nabi Samuel. Kisah ketabahan seorang wanita untuk terus berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Para pembaca, dalam kehidupan kita seharian, kita semua sebenarnya sama seperti Hana; Mengharapkan suatu keberhasilan dalam hidup. Keberhasilan itu mungkin tentang keharmonian dalam keluarga, memiliki ekonomi yang baik, kesembuhan dari penyakit, kejayaan dalam pelajaran/kerjaya, atau tentang mendapatkan teman hidup yang terbaik. Melalui kisah hidup Hana ini, sebagai orang2 yang percaya Tuhan, kita belajar bagaimana untuk tetap 'berpaut pada harapan' tersebut.

1. Bertahan/tabah dalam penderitaan.

Elkana mempunyai dua orang isteri; Hana dan Penina. Penina mempunyai anak, tetapi Hana tidak. Selama bertahun2 keadaan itu berterusan dan selama itu jugalah Penina menghina Hana. Meskipun Hana sangat sakit hati, tetapi dia tidak bertindak membalas hinaan tersebut atau melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Penina. Hana begitu tabah menanggung penderitaannya.

Adakah sesiapa di antara kita yang berkata, "Saya cukup sengsara menanggung penderitaan."? Penderitaan yang kita maksudkan itu mungkin berkata tentang pergolakan dalam keluarga, keadaan ekonomi yang merundum, belum disembuhkan daripada penyakit, mengalami kegagalan dalam peperiksaan, kerjaya yang belum maju atau seringkali gagal dalam percintaan. Kita harus meneladani ketabahan Hana untuk tetap 'berpaut pada harapan' yang masih ada.

2. Setia berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Mungkin harapan kita untuk 'berhasil' sudah semakin tipis, sama seperti Hana. Sudah bertahun2 dia menjadi isteri Elkana. Mungkin umurnya sudah lanjut dan hampir menopause (atau mungkin juga sudah menopause). Namun Hana tetap 'berpaut pada harapan' yang masih ada. Dan pengharapan Hana hanya di dalam Tuhan. Dia menangis dan berpuasa kerana terlalu sedih dan menderita, tetapi di dalam penderitaan tersebut dia tetap setia berdoa dan berharap kepada Tuhan.

Adakah kita masih percaya Tuhan di saat kita menyedari seperti tidak ada harapan lagi? Jika kita sudah berusaha sedaya upaya tetapi masih belum melihat tanda2 keberhasilan yang kita harapkan, dapatkah kita meneladani Hana yang tetap setia berlutut dan berdoa kepada Tuhan? Hana berkata bahawa dia sangat sedih dan berputus asa, tetapi dia tetap bersandar dan berharap kepada Tuhan.

3. Bernazar dan menunaikannya.

Dengan sangat sedih Hana berdoa kepada Tuhan sambil menangis tersedu-sedu. Kemudian Hana mengucapkan janji di hadapan Tuhan, bahawa jika Tuhan mengurniakan dia seorang anak lelaki, maka anak itu akan diserahkannya kepada Tuhan untuk menjadi hamba Tuhan seumur hidupnya. Selepas doa itu, walaupun Hana berkata bahawa dia sangat sedih dan putus asa, tetapi dia dan suaminya tetap meneruskan 'usaha' untuk mendapatkan anak.

Bernazar memerlukan kesanggupan dan kesungguhan. Ketika kita sangat mengharapkan Tuhan mengabulkan doa kita, sanggupkah kita berjanji bahawa apa yang kita minta itu akan kita berikan semula kepada Tuhan untuk kemuliaan-Nya? Persoalan yang lebih berat ialah, adakah nazar yang kita sanggup ucapkan itu sungguh2 kita maksudkan? Sebab mungkin ramai orang yang sanggup mengucapkan nazar, tetapi mereka belum tentu sungguh2 akan menunaikannya.

Tuhan melihat kesungguhan dan kesetiaan Hana. Tuhan tersentuh dengan nazar Hana. Lalu Tuhan mengabulkan doa Hana dan Hana menunaikan nazarnya. Bagaimana dengan kita?

Nota: Kita mungkin sudah putus asa, tetapi jangan putus harapan.