Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Saturday, September 27, 2008

Laporan Khas (Tuhanlah kekuatan kita)

Shallom! Kepada semua pembaca blog gereja maya. Saya menyedari sudah agak lama para penulis blog ini tidak memuatkan sebarang artikel baru, walaupun saya katakan sebelum ini bahawa blog ini akan di'update' sekurang-kurangnya seminggu sekali, namun tidak kesampaian. Saya secara peribadi, banyak perkara yang saya ingin kongsikan di sini, tetapi tidak mempunyai kesempatan yang baik untuk membuat karangan yang baik sebelum diposkan dalam blog ini.

Beberapa waktu kebelakangan ini, banyak perkara yang berlaku di persekitaran saya yang membuatkan saya sibuk dan kadang-kadang agak tertekan juga, walaupun saya tidak menunjukkan sebarang tanda sedemikian. Malah saya sebenarnya masih aktif berforum dalam group friendster, forum PCS, Sabah Forum, dan beberapa laman web lain. Cuma dalam blog ini saya tidak dapat memuatkan lagi artikel terbaru kerana saya mahu setiap artikel yang dimuatkan dalam blog ini telah dikarang dengan teliti dan menyampaikan mesej-mesej yang jelas berdasarkan kepada kebenaran firman Tuhan di dalam Alkitab.

Beberapa minggu yang lalu, salah seorang sepupu saya telah terlibat dengan kemalangan dan mengalami kecederaan yang serius; polytrauma. Dia dirawat di wad ICU, Hospital Queen Elizabeth, beberapa hari sebelum dipindahkan ke wad umum sehingga sekarang. Pada masa yang sama kakak saya juga turut dimasukkan ke wad bersalin di Hospital Likas untuk menjalani pembedahan 'caesarian section' untuk ketiga kali (dan terakhir) 'plus' BTL (Bilateral Tubal Ligation) kerana masalah tekanan darah tinggi pada umur kandungan baru 34 minggu. Selepas bersalin dia mengalami pula masalah 'meroyan' atau 'Post-Partum Blues'. Manakala anaknya pula mengalami masalah kekuningan menyebabkan saya bawa mereka tinggal bersama saya selama satu minggu untuk rawatan dan pemantauan. Bapa saya juga sering sakit-sakit dan berulang-alik ke Hospital Kota Marudu atau klinik-klinik swasta untuk mendapatkan rawatan. Kadang-kadang terpaksa dihantar oleh abang kedua saya (yang juga penghidap penyakit gout) ke tempat saya untuk pemeriksaan dan rawatan.

Saya sendiri pula agak tertekan dengan beban kerja di tempat kerja saya. Itu belum termasuk lagi masalah-masalah staf-staf saya dengan karenah masing-masing. Saya juga sibuk dengan urusan keluarga sendiri, di samping memikirkan perancangan-perancangan masa depan. Isteri saya sambung belajar di Kota Kinabalu dalam kursus reka fesyen selama 2 tahun dan itu bermakna saya kena urus hal anak-anak sementara dia tidak ada di rumah. Kami sibuk mencari pembantu rumah, dan mujurlah 'last minnute' ada juga yang kami dapat, walau pun hanya untuk sementara waktu saja. Banyak lagi perkara lain yang saya tidak dapat sebutkan dengan 'detail' di sini. Cukuplah saya katakan bahawa banyak perkara yang bermain di fikiran saya, dan kalau bukan kerana saya memiliki kasih Yesus, saya tidak tahu bagaimana keadaan hidup ini.

Bila saya merenungkan semula semua perkara ini, saya tetap dapat mengucap syukur kepada Tuhan kerana ternyata Dia tidak pernah meninggalkan saya walau sesaat pun. Malah dalam situasi hidup yang sangat sukar, semakin saya dapat merasakan penyertaan kasih, kebaikan dan kemurahanNya. Saya seringkali mengeluh, tetapi saya tidak pernah berputus asa sebab firman Tuhan katakan bahawa orang yang berputus asa pada saat-saat genting sesungguhnya orang yang lemah (Amsal 24: 10). Firman Tuhan itu mengingatkan saya bahawa saya sebenarnya lemah secara manusia, tetapi tetap kuat di dalam dan kerana Tuhan. Saya hanya suarakan isi hati saya kepada Tuhan dan memohon pertolonganNya. Saya sangat yakin bahawa Tuhan mendengar dan menjawab seruan doa orang yang sungguh-sungguh berharap kepadaNya (Mat. 21: 22).

Saya bercadang untuk 'resign' dari tempat kerja saya sekarang selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini dan merancang untuk membuka klinik sendiri kemungkinan di pekan Kota Belud pada awal tahun depan. Saya sudah buat 'preliminary plan' dan 'budgeting'. Saya berharap segala urusan akan berjalan dengan baik. Saya rindu untuk bergiat aktif di dalam pelayanan di gereja di mana saya dan keluarga mengikuti kebaktian dan juga di gereja-gereja lain sesuai dengan pimpinan Tuhan. Saya bercadang untuk mengikuti kursus teologi, mungkin secara sambilan dan juga berhasrat untuk menjadi penulis sambilan dan menghasilkan buku-buku yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada orang lain. Politik? Sementara waktu ini, saya sangat berminat mengikuti perkembangan politik semasa, tetapi belum berhasrat untuk terlibat secara langsung kecuali menjadi pengulas politik di kedai-kedai kopi dan menjadi pengundi yang bijak.

Banyak perkara yang saya boleh kongsikan, tetapi cukuplah untuk kali ini. Kepada yang berkenaan, saya secara peribadi memohon bantuan doa daripada kalian untuk diri saya sendiri, keluarga, dan segala perkara lain yang telah saya nyatakan di atas. Akhir kata, saya juga mendoakan agar kalian semua terus berada di dalam penyertaan, perlindungan, dan pemeliharaan Tuhan di setiap waktu dan dalam apa pun situasi hidup kalian. Marilah kita tetap percaya dan berharap kepada Tuhan sebab sesungguhnya orang yang berharap kepada Tuhan akan sentiasa memiliki kekuatan baru seperti burung rajawali (rujuk artikel Bagai Rajawali). Tuhan memberkati kita semua!

Nota: Berjalan dalam pimpinan Tuhan.

Wednesday, September 10, 2008

Siapa Iblis Menurut Alkitab?

Bayangan ramai orang beranggapan bahawa Iblis merupakan sejenis makhluk merah bertanduk yang menggerunkan dan sentiasa berbisik di telinga kita untuk melakukan kejahatan. Ada juga yang beranggapan bahawa ia hanyalah suatu kuasa kejahatan yang boleh masuk ke dalam diri manusia dan tidak memiliki peribadi yang nyata. Mari kita selidiki bersama-sama apa kata Alkitab tentang Iblis.

'Satan' ialah perkataan dalam bahasa Ibrani yang bermaksud 'musuh' atau ' yang melawan'. Ia juga disebut 'Devil' (bermaksud 'penfitnah') , dan juga 'Lucifer' (Hanya ditemui dalam terjemahan KJV yang bermaksud 'bintang fajar' yang cemerlang). Dalam terjemahan Bahasa Malaysia ia disebut sebagai Iblis atau Syaitan (Wahyu 20: 2). Dalam terjemahan Bahasa Indonesia perkataan 'setan' digunakan sebagai terjemahan bagi perkataan 'devils' dalam Bahasa Inggeris yang diterjemahkan sebagai roh jahat dalam Bahasa Malaysia.

Ada banyak lagi gelaran atau nama-nama yang merujuk kepada Iblis dan sifat-sifatnya, seperti penguasa dunia (Yohanes 12:31; 2 Korintus 4:4; Efesus 2:2), penuduh (Zakaria 3: 1, Wahyu 12:10), pencuba/penggoda (Matius 4:3; 1 Tesalonika 3:5), dan penipu (Kejadian 3, 2 Korintus 4:4; Wahyu 20:3). Ia juga disebut sebagai Naga Besar (Wahyu 12: 9). Untuk memudahkan penulisan, saya hanya menyebutnya sebagai Iblis untuk mewakili semua gelaran itu.

Iblis merupakan salah satu malaikat ciptaan Allah. Bahkan malaikat yang tertinggi kedudukannya di Syurga. Petikan firman Tuhan dalam Yesaya 14: 12-14, dan Yehezkiel 28: 11-19 menceritakan kepada kita tentang siapa Iblis dan bagaimana ia jatuh ke dalam dosa. Ada beberapa pendapat yang mengatakan bahawa kedua-dua petikan ini bukan merujuk kepada Iblis tetapi masing-masing merujuk kepada Raja Babilonia dan Raja Tirus. Dakwaan itu benar secara harfiah (literal), tetapi kita harus memahami bahawa watak utama dalam kejahatan Raja Babilonia dan Raja Tirus ialah Iblis yang kita ketahui sebagai penguasa dunia. Oleh itu mesej utama dalam petikan-petikan itu sebenarnya memang merujuk dan ditujukan kepada Iblis.

Lucifer (gelaran sebelum kejatuhannya) merupakan malaikat yang gilang gemilang dan menjadi contoh kesempurnaan malaikat ciptaan Allah. Dia sungguh kacak, dan bijaksana. Dia dikenakan pakaian yang amat berharga dan berkilauan. Dia sangat terkenal dan dengan keadudukannya sedemikian, dia dipercayai berperanan sebagai ketua penyembahan di Syurga. Kelakuannya tidak bercela sehingga ia mula berbuat jahat. Dengan segala kelebihan dan kedudukannya yang hanya berada di tempat kedua berbanding Allah, maka dia mula menjadi sombong dan angkuh. Dia mahu dirinya juga disembah seperti Allah dan bahkan bercita-cita untuk mengambilalih kedudukan Allah. (Yesaya 14:13-14, Yehezkiel 28:15, 1 Timotius 3:6). Disebabkan oleh dosanya, Allah membanting Iblis ke tanah, keluar dari Syurga (Yehezkiel 28:17, Lukas 10: 18).

Pengaruh Iblis memang besar kerana dia berjaya membawa bersamanya sepertiga malaikat di syurga untuk menyertainya melawan Allah (Wahyu 12: 4). Walaupun tidak disebut secara nyata dalam Alkitab bilakah masa yang tepat Iblis mula berdosa, tetapi apa yang nyata Iblis berdosa dahulu sebelum manusia, dan bahkan Iblislah yang memperdaya manusia sehingga manusia juga jatuh ke dalam dosa (Kejadian 3). Iblis tahu bahawa Allah maha berkuasa, tetapi keadaan-keadaan di atas telah dianggap oleh Iblis sebagai 'kejayaan-kejayaan'nya, dan atas sebab itulah juga sehingga kini walaupun Iblis sudah dibuang dari Syurga, tetapi dia masih menaruh harapan bahawa ada lagi kejayaan-kejayaannya pada masa akan datang, dan bahkan mungkin dapat mengalahkan Allah.

Iblis dan manusia telah sama-sama berdosa, tetapi kenapa Allah menyediakan rancangan keselamatan kepada manusia dan tidak kepada Iblis? Apakah Allah tidak mengasihi Iblis (Lucifer) dan mahu memberikannya peluang kedua? Hakikatnya Allah memang mengasihi Iblis sebelum kejatuhannya. Setelah Iblis berdosa, Allah membenci Iblis. Allah tidak memberikan peluang lagi kepada Iblis untuk bertaubat kerana 'malaikat' merupakan makhluk yang sangat dekat kepada Allah. Mereka menyembah Dia siang dan malam (Yesaya 6: 3, Wahyu 4: 8) . Mereka tahu siapa Allah dan segala keagungannya, tetapi Iblis (the fallen-angel) telah memilih untuk melawan Allah walaupun dia sendiri penuh dengan kebijaksanaan tentang siapa Allah. Kerana pengetahuannya, Allah mengetahui bahawa sekalipun Dia memberikan peluang kepada Iblis, Iblis tetap memilih untuk melawan Allah. Itulah sebabnya Iblis tidak sibuk untuk berusaha mendekatkan diri dan memulihkan hubungannya dengan Allah. Sebaliknya dia merayau-rayau seperti singa yang mengaum, untuk mencari siapa lagi yang boleh diperdayanya untuk turut serta melawan Allah (1 Petrus 5: 8).

Manusia pula berdosa kerana ditipu dan diperdaya oleh Iblis. Pada mulanya manusia bukan merancang untuk melawan Allah, tetapi kerana tipu daya Iblis, manusia telah berdosa. Setelah itu, manusia menjadi malu dan takut, lalu bersembunyi. Pada mulanya manusia tidak ada kesombongan atau keangkuhan. Kesombongan dan keangkuhan manusia pada hari ini diperolehi daripada Iblis. Apa yang berlaku di Taman Eden ketika manusia jatuh ke dalam dosa ialah satu 'kesilapan' kerana manusia (Hawa) tidak memahami firman Allah, dan bukan niat asalnya untuk melawan Allah. Sekali lagi sebagai perbandingan Iblis yang penuh dengan kebijaksanaan Allah telah menjadi sombong dan angkuh lalu melawan Allah. Tidak ada yang memperdaya Iblis. Dia sendiri yang merancang untuk mahu menjadi seperti Allah. Malangnya kesilapan manusia itu menerima nasib yang sama iaitu 'dosa' bermakna 'maut'. Allah mengetahui perkara itu, dan itulah sebabnya Allah mencari manusia dan bahkan menyediakan rancangan keselamatan melalui Yesus. Hari ini, oleh kerana kita telah memiliki kebijaksanaan daripada Allah, maka kita boleh membuat pilihan samada mengikut Tuhan atau Iblis. Kita diberi kesempatan untuk memilih, tetapi Iblis tidak kerana dari awal lagi dia sudah sebati dengan kejahatannya! (Yohanes 8: 44)

Iblis walaupun sudah dibuang dari Syurga, untuk sementara waktu, dia masih dapat datang dan menghadap Allah di Syurga, tetapi bukan dengan sesuka hatinya, melainkan hanya apabila 'dipanggil' untuk menghadap oleh Allah dalam keadaan-keadaan tertentu (Ayub 1: 6-7, 2 Tawarikh 18: 18-21). Pada waktu penghakiman Allah akan memanggil Iblis sekali lagi untuk menerima hukuman yang terakhir, iaitu dibuang ke dalam lautan api (Wahyu 20: 11-15). Selepas itu, Allah akan menciptakan langit dan bumi yang baru, dan akan menyapu segala air mata dari mata kita dan menyediakan Yerusalem baru. Ketika itu dosa (Iblis) tidak akan dapat masuk lagi. Hanya orang yang namanya tertulis di dalam Kitab Orang Hidup, yang dimiliki oleh Anak Domba akan masuk ke kota itu (Wahyu 21: 1-3, 27).

Sungguh ajaib dan besar anugerahNya! Tuhan memberkati semua...