Selamat datang kepada semua pengunjung Virtual Church Ministries. Tuhan Yesus memberkati.

Sunday, May 10, 2020

IBU, ENGKAULAH RATU HATIKU


"Hai anakku, lakukanlah perintah bapamu, dan jangan lupakan ajaran ibumu." Amsal 46: 20 (BM)

Kami ada seramai lima orang adik-beradik. Tiga lelaki dan dua perempuan. Sebenarnya lapan orang kalau hidup semua, tetapi dua yang lain telah meninggal ketika masih kecil dan seorang lagi meninggal ketika lahir. Saya merupakan anak yang keempat. Saya ada dua orang abang, seorang kakak dan seorang adik perempuan.

Keluarga kami bukanlah keluarga yang berada. Kami menjalani kehidupan dengan cukup sederhana. Tetapi satu hal yang pasti, keluarga kami adalah sebuah keluarga yang memelihara nilai-nilai kekeluargaan yang sejati. Ayah sangat mengasihi ibu dan begitu juga ibu dengan ayah. Sebagai ibu bapa, saya tahu mereka sangat menyayangi kami dan telah berusaha mendidik kami dengan sebaik mungkin. Sebagai anak-anak pula, kami sudah belajar erti mengasihi dan menghormati ibu bapa.

Semuanya dalam keadaan biasa sehingga peristiwa yang berlaku pada malam 27 Mei 1986. Peristiwa sedih yang telah memberi impak besar dalam kehidupan kami sekeluarga. Peristiwa yang telah mengubah sejarah dan riwayat hidup kami. Secara peribadi, peristiwa yang telah mula mengajar saya tentang erti perjuangan hidup di dalam kepayahan. Saya baru berumur sepuluh tahun, manakala adik Lina berumur lapan tahun. Abang Otto bakal menduduki peperiksaan SPM. Manakala abang Onoi bakal menduduki peperiksaan SRP. Kakak Oyong pula baru di Tingkatan Satu.

Suasana malam itu tidak banyak berbeza berbanding malam-malam sebelumnya. Cuma gelapnya lebih pekat tanpa kehadiran cahaya bulan. Hanya kerlipan bintang-bintang yang berselerakan memenuhi ruang angkasa. Kesunyian malam membolehkan bunyi cengkerik dan unggas malam lebih jelas kedengaran bersahut-sahutan. Hanya sesekali disulami oleh siulan dedaun pepohonan di perkarangan rumah, ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Makan malam kami berlaukkan ikan turongow, dungkarow, dan tonggiput. Ibu masak tinopuru. Semuanya hasil tangkapan ibu, adik Lina dan saya ketika meniyud di sungai Longob selepas pulang dari sekolah.

Sementara saya dan adik Lina masih menikmati saki baki makanan, saya mendengar perbualan ayah dan ibu di serambi rumah. Mereka bercadang untuk sumombol di rumah makcik Saruda. Ibu meminta ayah menunggunya sebentar kerana ingin minum air terlebih dulu. Saya melihat ibu berjalan masuk ke dapur seperti biasa. Namun tidak lama selepas itu, tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga pepohonan di perkarangan rumah bergoyang dan berdesing dengan kuat.

Ibu sangat terkejut dan berlari keluar dari dapur menuju kepada ayah sambil berteriak, “Abaaannggg...!” Tepat di ambang pintu, seperti direnjat, ibu menjadi kaku lalu rebah ke pangkuan ayah. Ayah mendakap dan cuba menyedarkan ibu, tetapi tiada sebarang respon. Memanggil ayah, itulah perkataan terakhir yang keluar dari mulut ibu. Saya sedar ibu telah tiada. Saya hanya mampu menangis, sementara malam semakin pekat. Di bulan sambutan Hari Ibu, ibu telah pergi bersama Tuhan di Firdaus. Tidak ada ucapan selamat tinggal dari ibu dan tidak ada ucapan selamat jalan dari kami. Mungkin kerana ibu tahu bahawa perpisahan di dunia ini bukanlah perpisahan buat selama-lamanya.

Kasih sayang seorang ibu pasti tidak akan dilupakan oleh seorang anak. Seorang ibu garang terhadap anaknya kerana dia mengenal anak itu sejak dari rahimnya. Ikatan antara ibu dan anak adalah sesuatu yang istimewa. Akan kekal selamanya meski dipisahkan oleh masa dan jarak. Kasih sayang yang tercipta adalah kasih sayang yang sejati. Saling memahami dan saling memaafkan. “Ibu, meski sudah puluhan tahun masa berlalu, damailah bersama Tuhan sehingga kita bertemu lagi di rumah Bapa di Syurga.” 

SELAMAT HARI IBU. Tuhan Yesus memberkati kita semua. Amin.